Nuffnang

Sunday, October 24, 2010

9 ANAK LELAKI JADI 'ORANG'

Umpama bertulang besi, berurat dawai. Itulah kudrat seorang ibu diperah sepenuhnya setiap hari semata-mata ingin membesarkan sembilan anak lelaki meskipun, pada hakikatnya berapa kuatlah tenaga sebenar dimiliki seorang wanita yang sering kali juga dianggap lemah.

Bagaimanapun, Awiah Awi adalah wanita yang memiliki semangat juang sangat tinggi dan demi membantu suami menyara keluarga, dia tidak pernah melihat kelemahan itu wujud dalam dirinya. Lalu, ketika usia mudanya beliau sedaya upaya melakukan pelbagai pekerjaan seperti menjual kuih dan menjahit serta kerja berat lain yang boleh mendatangkan rezeki halal.

Beliau tidak pernah lelah mahu pun mengeluh, semata-mata mahu memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Berkat kegigihan dan ketulusan hati seorang ibu, Awiah dinobatkan sebagai Ibu Mithali ke-10 dan boleh berbangga kerana semua ‘hero’ dididik dengan tegas tetapi penuh kasih sayang kini meniti kejayaan hidup masing-masing.

Pemilihan Awiah, 64, pada majlis Penganugerahan Ibu Mithali ke-10 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), baru-baru ini amat tepat lebih-lebih lagi jika mengambil kira kejayaan dicapai, sumbangannya kepada masyarakat, tanggung jawab dan pengorbanan mahu pun kejayaan anak-anaknya.

Awiah yang berasal daripada Muar, Johor Bahru berkata, membuatnya berasa lebih gembira dan bahagia ialah apabila semua anak-anak walaupun sudah berjaya di dunia, mereka tidak pernah lupa untuk memberi sumbang bakti dalam kerja kebajikan masyarakat dan aktiviti keagamaan.

Awiah yang turut memiliki 42 orang cucu dan seorang cicit berkata, semua kejayaan keluarganya sekarang adalah hasil didikan tegas bersama arwah suaminya, Hamid Samad, seorang bekas tentera yang meninggal dunia empat tahun lalu kerana sakit tua.
Mengimbas kehidupannya, Awiah berkata beliau berkahwin muda ketika berusia sembilan tahun bersama pasangan hidupnya yang juga pilihan keluarganya tetapi hanya memulakan hidup sebagai suami isteri ketika beliau berusia 13 tahun tanpa sebarang pengalaman untuk menjadi seorang ibu muda.

Namun, hari ini, hampir semua anaknya yang berusia antara 20 tahun dan 48 tahun berjaya dicorakkan menjadi insan berguna sehingga berjaya menggenggam ijazah serta mempunyai kerjaya baik seperti pengurus, doktor, pengetua dan ahli perniagaan.

Sumber : bharian.

4 comments:

  1. salam,
    ibu manalah tak sayangkan anak ye tak??

    kak CT, anda telah di tag.. hehehe

    entry terbaru"interview tergempar"

    ReplyDelete
  2. My Little Diary : Hahahaha....tag biasa2 boleh...luar biasa tamoooo..:)

    ReplyDelete
  3. hebatkan ibu ni..anak semua hero....tapi boleh berjaya semua....

    walau kita imagine hero ni nakal masa kecik2..tapi nakal2 pun berjaya...tahniah tuk ibu itu

    ReplyDelete
  4. ~aSHa~ : Impian, cita-cita, doa2 akak ...nak sangat jadi spt ibu di atas...Insyallah!!!

    ReplyDelete