Nuffnang

Sunday, October 24, 2010

BRUNEI KECIL TETAP MENAWAN


Foto

Foto

Mercu tanda lain di kota ini ialah Istana Nurul Iman, istana terbesar di dunia, dibina pada awal 1980an yang kubah bersalut emasnya sudah boleh dilihat dari jauh. Istana ini yang terletak di atas bukit berdekatan tebing Sungai Brunei dikatakan memiliki 1,788 bilik, 257 bilik air dan garaj yang boleh memuatkan sehingga 110 kereta.

Dikatakan juga ada dewan bankuet boleh menempatkan 4,000 orang dan masjid memuatkan sehingga 1,500 jemaah, selain memiliki 44 tangga, 18 lif dan 564 candelier serta 51,000 mentol untuk menerangi seluruh kawasannya. Jangan lupa singgah di Kampung Ayer yang digelar pelancong Eropah sebagai Venice Timur, menempatkan kira-kira 30,000 penduduk yang sesetengahnya selesa tinggal di rumah papan dan sebahagian lagi memilih kediaman berkonsep moden.

Rumah di penempatan ini yang dilengkapi kemudahan seperti sekolah, masjid serta klinik kesihatan, dihubungkan dengan jambatan kayu dan boleh dikunjungi dengan bot. Melawat Kampung Ayer yang juga kawasan penempatan terbesar di Asia Tenggara yang dibina di atas air, anda pasti terpesona dengan kehidupan tradisional penduduknya.

Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pula terletak bersebelahan Masjid Omar Ali Saifuddien. Ia pusat komersial dan kompleks belibelah bagi menjana dana untuk yayasan berkenaan membiayai aktiviti kebajikan. Apa yang menarik, bangunan terbabit direka dengan gabungan seni reka tradisional Melayu dan moden.

Jangan lupa melawat Muzium Royal Regalia yang dibina pada 1992 sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Brunei. Muzium ini mempamerkan warisan kegemilangan pemerintahan Kesultanan Brunei.

Anda boleh menyaksikan kereta kuda diraja, peralatan kebesaran daripada emas dan perak, mahkota bertatahkan berlian yang digunakan ketika pertabalan dan singgahsana yang digunakan baginda pada majlis rasmi. Muzium Brunei pula memaparkan koleksi naskhah al Quran, bahan pameran etnik Borneo dan artifak peninggalan daripada kapal yang pernah karam di perairan negara itu.

Bagi menyaksikan warisan seni bina kolonial, singgahlah di House of Twelve Roofs yang pernah menjadi kediaman Residen Inggeris dan kini berubah fungsi sebagai muzium serta lokasi menerima tetamu asing. Untuk bersantai, boleh ke Taman Jerudong di Muara, taman tema termahal di Asia Tenggara yang dibuka pada 1994 dan menawarkan pelbagai permainan untuk pengunjung menghabiskan masa bersama rakan atau ahli keluarga.

Jika berkesempatan, kunjungi Pantai Seri Kenangan di Tutong yang mengambil masa setengah jam memandu dari Bandar Seri Begawan dan menjadi tumpuan warga tempatan untuk berkelah dan memancing.

Lokasi riadah lain ialah Tasik Merimbun yang dikelilingi paya dan tanah perkuburan purba, selain Temburong yang terkenal sebagai lokasi ekopelancongan dan menempatkan Taman Negara Ulu Temburong. Di sini, anda berpeluang menyusuri sungai di tengah kehijauan hutan hujan semula jadi dan merentas denai melihat khazanah hutan Borneo, singgah di rumah panjang dan kemudian ke Taman Negara Belalong.

Selanjutnya : Bharian.

  • Foto

No comments:

Post a Comment