Nuffnang

Wednesday, October 20, 2010

DR ZIKRI MINAT BARANG ANTIK

Ada orang berpendapat, hobi mengumpul barang-barang antik dan purba merupakan satu aktiviti yang mahal dan memerlukan kos tinggi. Namun, jika ada minat yang mendalam, wang ringgit bukanlah segala-galanya kerana kepuasan memiliki barang-barang itu menjadi keutamaan pengumpulnya.

Bagi pemilik Banyan Antiques House Sdn. Bhd., Dr. Zikri Abd. Ghani, minat mengumpul barang-barang antik dan purba telah dimulakannya sejak kecil. Dia kini mempunyai kira-kira 1,000 jenis barangan pelbagai rupa dan bentuk serta masing-masing mempunyai kisah tersendiri. Dalam galeri saya yang dibuka sejak 27 tahun dulu ini, 1,001 macam barang-barang telah saya kumpulkan seperti keris, lembing, tombak, senapang dan barang-barang hiasan tembaga termasuk kendi, tepak sirih dan buyung.

Kesemua barang-barang yang dipamerkan dalam simpanan saya telah dilesenkan oleh Jabatan Warisan Negara,” katanya. Zikri menambah, barang-barang yang tersimpan rapi di rumahnya itu didapatkan bukan sahaja dari dalam negara malah dari luar negara. Porselin atau tembikar tanah liat dibeli daripada negara China manakala barang-barang lain didapatkan di dalam negara,” jelasnya.

Menyentuh tentang harga, Zikri mengakui pernah membelanjakan antara RM80,000 hingga RM100,000 untuk membeli koleksi meriam. Ia adalah barang termahal yang terdapat dalam simpanan saya kerana ia tinggalan Portugis, Belanda dan British. Saya ada lebih kurang 20 pucuk meriam. Sebelum ini saya ada 30 pucuk namun ada di antaranya telah saya jual,” katanya.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, dia kini sedang sibuk mengumpul manuskrip lama berusia 120 hingga 220 tahun yang pernah digunakan oleh ulama dari zaman Al-Marhum Sultan Ahmad Tajudin Halim Shah II iaitu dalam tempoh tahun 1797 hingga 1843 sehinggalah zaman pemerintahan Al-marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882 hingga 1943). Menurutnya, manuskrip yang dikumpul sejak 25 tahun dahulu itu mempunyai 75 naskhah yang terdiri daripada kitab ajaran agama tulisan jawi berbahasa Arab dan Melayu.

Kajian ilmuwan Islam

Ada yang dikarang dalam bentuk hikayat dan syair. Ia terbahagi kepada kitab-kitab pengajian tasauf, fiqah dan hadis nabi yang merangkumi pengajian perubatan Islam, kajian bulan bintang, pengurusan dan pentadbiran kaedah Islam. Dahulu, saya ada menjualnya tapi kini saya mahu simpan dan hanya akan jual kepada pihak tertentu seperti muzium kerana tidak mahu khazanah ini hilang begitu saja sekiranya dibeli oleh orang perseorangan,” katanya yang memperoleh manuskrip itu dari Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.

Buat masa ini, beliau menyimpan manuskrip peninggalan ulama-ulama besar terdahulu seperti Tuan Haji Wan Hussein Al-Banjari tahun 1870, Tuan Haji Ishak Pondok Pulau Pisang, Kubang Pasu (1844), Syeikh Daud Al-Fatani (1830) Syed Harun Arau (1815), Hamzah Fansuri, Syeikh Abdul Samad Al-Palembangi, Nuruddin Al-Rariri, Syeikh Mahyudin Abd. Kadir dan Syeikh Abdul Rahman.

Ekoran minat yang begitu mendalam dalam mengumpul barang-barang antik dan purba itu, nama beliau pernah terpahat dalam Malaysia Book of Records sebanyak dua kali iaitu tahun 2004 dan 2006 iaitu sebagai pengumpul meriam individu dan pengumpul pistol dan senapang terbanyak di Malaysia.

"Dalam rekod itu, saya dicatatkan sebagai penyimpan 30 pucuk meriam, 12 pucuk pistol dan 18 pucuk senapang yang menggunakan serbuk belerang," katanya.

Orang ramai yang berminat untuk melihat koleksi barang antik dan purba miliknya, boleh datang sendiri ke Lot-T6, Tingkat Satu, Wisma PKNK, Jalan Sultan Badlishah, Alor Setar atau telefon di talian 04-731 4708.

Sumber : Kosmo.


No comments:

Post a Comment