Nuffnang

Monday, December 20, 2010

KAYU LANDASAN HIASAI LAMAN

Penggunaan kayu dalam hiasan laman semakin mendapat tempat kerana ia mempunyai nilai estetika yang tiada bandingan. Selain tahan lama, kayu juga nampak lebih menarik dan hidup untuk menghias laman kediaman.

Terbaru, penggunaan kayu kitar semula seperti kayu landasan kereta api semakin mendapat tempat. Selain menjadi perabot laman seperti bangku istirahat dan pangkin, kayu berkenaan turut dijadikan dinding pagar, kotak tanaman dan pemijak siar kaki.

Kayu landasan kereta api terpakai biasanya diperbuat daripada kayu cengal dan meranti, rupanya nampak seperti reput dan lapuk, namun sebenarnya ia tahan lama. Kayu ini lebih sesuai untuk dijadikan hiasan siar kaki, penahan batas pokok, kotak tanaman dan muka anak tangga.

Jika kayu landasan kereta api terpakai mahu digunakan untuk membina tembok laman atau perabot laman disarankan supaya ia diperkuatkan dengan cat pengilat atau bingkai daripada besi, keluli atau gentian plastik atau getah.

Selain menjadi dinding tembok, kayu ini juga sesuai dijadikan bahan membuat pintu gerbang yang sudah tentu memberikan sentuhan klasik. Ramai kini, menggunakan kayu berkenaan sebagai mercu tanda kediaman atau tempat meletakkan nombor kediaman.

Sesetengah pencinta seni laman menggunakan kayu landasan kereta api terpakai sebagai penahan dan pelengkap sisi kolam kerana ketahanan dan keunikan warnanya, perang atau kehitaman.

Kayu landasan kereta api baru pula biasanya dibuat seakan kayu terpakai dengan warna dan rupa seakan lama. Namun, perlu diingat ketahanan tidak teruji dan mungkin diperbuat daripada kayu tidak tahan lasak, seperti kayu getah atau berlian.

Kayu jenis ini biasanya tidak seberat kayu cengal dan meranti dan mudah serta harganya jauh lebih murah serta sesuai bagi mereka yang mahu menggunakan dalam kuantiti banyak.

Bagi memudahkan kerja menghias, kini banyak nurseri dan kedai peralatan laman menjual perabot laman dibuat daripada kayu landasan kereta api seperti bangku dan pangkin. Namun, bangku dan pangkin daripada kayu landasan kereta api ini sukar diubah selalu kerana ia berat.

Sumber : Bharian

No comments:

Post a Comment