Nuffnang

Thursday, April 14, 2011

BERIADAH DI HUTAN HUJAN TROPIKA


Suatau ketika dulu, Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam terletak di Seksyen 8, Shah Alam begitu terkenal sebagai lokasi rekreasi. Beberapa ketika, lokasi itu bagaikan sunyi seketika malah lenyap dari ‘peta’ pelancongan pelawat tempatan juga luar negara tanpa diketahui puncanya.

Tapi bagi yang menyedari, lokasi itu kini bagaikan ‘bernyawa’ kembali sejak adanya Sytrex Adventure yang menghidangkan aktiviti ekstrem pada ketinggian 17 meter hingga 22 meter dari aras tanah.

Pengarahnya, Azlan Idrus, berkata dia memulakan operasi Skytrex Adventure di Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam, kira-kira tiga tahun lalu bersama rakan kongsinya dari Perancis, Julien Repellin.

Katanya, sukan ekstrem ini sangat popular di Perancis, malah di sana, ada lebih kurang 500 taman sukan menyediakan aktiviti sama seperti Skytrex khusus bagi penggemar aktiviti lasak penuh cabaran.

“Idea untuk mewujudkannya di sini tercetus kerana sayang melihatkan hutan hujan tropika yang tidak dipergunakan sebaiknya malah ia juga boleh dikira sebagai satu bentuk aktiviti sihat baru khusus untuk pencinta sukan lasak tempatan,” katanya.
Bagi yang tidak dapat membayangkan, Skytrex menyamai aktiviti ‘kanopi walk’ atau jambatan gantung seperti terdapat di Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang. Istimewanya, perjalanan anda tidak semudah langkah biasa.

“Di sini, ada tiga jenis trek iaitu Little Adventure khusus bagi kanak-kanak; Big Thrill, laluan sederhana lasak dan Extreme Challenge, yang menyediakan lebih cabaran.

“Cabaran bermaksud di setiap platform, ada disediakan halangan berbeza yang bakal mencabar adrenalin peserta seperti flying fox, laluan tidak stabil dipanggil The Earthquake, Happy Hopper dan banyak lagi,” katanya.

Tambah Azlan, aktiviti Syktrex direka khusus bagi pencinta sukan lasak yang ingin mencabar ketahanan diri dan setiap halangan dicipta sememangnya mampu mencabar adrenalin.

“Seronok sebenarnya berada di dalam hutan hujan begini mungkin kerana cuacanya yang sejuk malah berbeza aktiviti riadah seperti merentas hutan atau berkhemah, Skytrex memberikan anda pandangan berbeza iaitu pada ketinggian paras pokok dan bila memandang ke bawah, pemandangannya nyaman dengan hutan menghijau.

“Skytrex juga terletak tidak jauh dari bandar Shah Alam malah ibu bapa atau wanita yang datang berkumpulan boleh datang ke sini pagi dan pulang menjelang petang tanpa perlu memikirkan jarak dan tempat untuk bermalam,” katanya.

Disebabkan sambutan yang diterima begitu menggalakkan, Azlan menggalakkan orang ramai yang ingin turut serta supaya membuat tempahan dalam talian sekurang-kurangnya tiga minggu lebih awal.

“Ia adalah prosedur biasa bagi mengelakkan pertindihan jadual dan kami menerima tempahan daripada individu manakala untuk kumpulan atau korporat maksimum 25 orang satu sesi,” katanya.

Bagi meragui keselamatan tambahan apabila berapa di lokasi tinggi yang hanya bergantung pada tali dan harness, Azlan memberi jaminan syarikat itu tidak berkompromi dalam aspek keselamatan.

“Julien adalah individu yang bertanggungjawab menyelia keselamatan skytrex dan pemeriksaan dilakukan secara berkala setiap hari, minggu dan bulan malah jika hutan disertai angin kuat serta petir, kami turut mempunyai laluan keselamatan bagi menurunkan peserta,” katanya.

Malah, bagi tujuan keselamatan dan keselesaan peserta, Skytrex hanya boleh dinaiki individu yang mempunyai berat maksimum 100 kilogram.

“Bukan hendak mengetepikan naluri mereka yang ingin mencuba atau kerana platform dan tali tidak mampu menanggung tapi ia adalah untuk keselamatan semua kerana anda perlu ingat, aktiviti berlaku di paras ketinggian 22 meter,” katanya.

Selain itu, Skytrex turut menyediakan lokasi untuk berkelah dipanggil Skydecx. Di sini, tempahan untuk mengadakan majlis sambutan seperti hari lahir boleh dibuat dengan tawaran harga berpatutan.

“Saya memang menyukai aktiviti ekstrem seperti ini namun tidak pernah berpeluang mengikuti mana-mana kegiatan lasak sehinggalah mula menyertai Kelab Rekreasi UiTM Machang, Kelantan.

“Jadi, pengalaman pertama ini sememangnya benar-benar menguji keberanian malah saya juga menyarankan wanita supaya terbabit aktiviti sihat begini sebagai satu kelainan.” Penuntut, Siti Nadzirah Ismail, 20.

“Skytrex adalah aktiviti lasak pertama saya dan saat ini, saya benar-benar tidak sabar untuk merasai keseronokan berada tinggi di paras 22 meter dari paras tanah. Pada dasarnya, saya rasakan aktiviti begini bagus untuk merangsang keyakinan diri seorang wanita. Jadi, tidak perlulah sentiasa jaga ayu saja.

“Selepas ini, saya mungkin akan kembali lagi ke sini bersama keluarga dan sahabat karib kerana lokasi ini begitu strategik hanya terletak beberapa kilometer saja dari pusat bandar Shah Alam.” Penuntut, Ainna Abu Bakar, 19.

“Kali pertama datang bersama anak-anak serta suami dan tujuannya hanyalah untuk merasai pengalaman cuti yang berbeza. Ada sedikit rasa bimbang kerana faktor halangan dan ketinggian tapi setelah mencuba laluan percubaan, rasa yakin untuk naik ke atas malah begitu teruja,” kata guru, Farizah Ismail, 47.

Farizah yang juga memiliki anak istimewa turut membawa anaknya merasai cabaran ekstrem Skytrex dan akuinya, kegiatan luar sebegini adalah satu bentuk rangsangan yang baik untuk kanak-kanak sebegitu.

“Aktiviti sebegini bagus untuk membentuk rasa yakin dalam dirinya dan saya percaya, Skytrex juga mampu memberikan pendedahan kepadanya supaya lebih yakin sama seperti aktiviti berenang yang sering dilakukannya.”

“Saya dapat tahu mengenai sukan ini melalui ibu saudara dan tidak keberatan mencubanya bersama rakan yang datang dari Jerman. Jujur saya katakan, ia memang menyeronokkan walaupun pada mulanya ada sedikit rasa takut tapi terjun menggunakan kaedah flying fox, saya boleh menjerit dan pada masa sama, melepaskan segala tekanan.

“Tapi, saya sarankan wanita yang pertama kali mencuba aktiviti lasak supaya melakukan senaman ringkas sebelum mencuba kerana cabaran Skytrex memerlukan kita menggunakan tenaga tangan untuk bergayut dari platform ke platform.” Iman Effendy, 21.

Skytrex Adventure
Taman Pertanian Malaysia,
Bukit Cahaya Seri Alam,
Shah Alam,
Selangor.
Telefon: 013-2769841
Waktu operasi: 9 pagi hingga 6 petang
Laman web: www.skytrex-adventure.com

Sumber : Bharian

No comments:

Post a Comment