“Kami harap kedatangan Tahun Baru Cina ini memberi sinar harapan untuk bertemu dengan kakak kandung yang terpisah sejak 53 tahun lalu,” kata Foo Foon Koon, 50, ketika hadir ke pejabat Harian Metro di sini, semalam.
Menurutnya, pertemuan itu jika berjaya direalisasikan pasti menjadi kenangan manis sepanjang hidup bagi keluarganya.
Foo berkata, ibu mereka, Wong Fong Fah, 78, yang semakin uzur berhasrat mahu bertemu dengan anak perempuan tunggalnya itu sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Sejak kebelakangan ini, ibu sering termenung dan asyik murung kerana terlalu rindukan kakak, malah setiap kali menjelang Tahun Baru Cina, dia akan bertanyakan kakak yang tidak diketahui tempat tinggalnya.
“Kami tujuh beradik sudah lama mencari kakak, tetapi hampa,” katanya yang bertugas sebagai kontraktor di Seelong.
Katanya, kakaknya diserahkan kepada satu keluarga Melayu yang juga kenalan ibu bapa mereka seminggu selepas dilahirkan.
Dia yang menetap di Taman Kulai Utama berkata, ketika diserahkan kepada keluarga angkat berkenaan, kakaknya itu sudah memiliki surat beranak, namun disebabkan ibu bapa mereka tidak kenal rapat dengan keluarga berkenaan, mereka terputus hubungan.
“Kami tidak mempunyai banyak maklumat berkaitan kakak, apatah lagi ibu tidak sihat manakala ingatannya semakin berkurangan kebelakangan ini,” katanya.
Anak ketiga itu berkata, seorang saudara pernah memaklumkan kakaknya pernah mencari mereka sekeluarga 15 tahun lalu tetapi gagal bertemu disebabkan kekurangan maklumat.
“Kami tiada gambarnya, malah ibu juga tidak ingat nama kakak yang diberikan dalam surat beranak itu, harapan kami semoga kakak terbaca luahan ini dan dapat bertemu semula selepas terpisah sekian lama,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali kakaknya itu boleh menghubungi Foo di talian 019-7136632 atau 019-7148285.
No comments:
Post a Comment