Pegawai pendakwa Cif Inspektor Afnizanizam Mohamad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap empat pertuduhan meminta dan menerima suapan bagi melepaskan tiga individu daripada dua pertuduhan dadah tahun lepas.
Afnizanizam, 32, menghadapi tiga tuduhan meminta suapan wang tunai RM6,000 di pejabat pendakwa trafik, Mahkamah Majistret Selayang, Jalan Pegawai di KM 16 Jalan Ipoh, antara 19 Mei dan 24 Mei tahun lepas.
Ia adalah sebagai dorongan untuk melepaskan Noraini Abdul Latif, Mohammad Qayyum Muizz Ramlan dan Armadi Darma Basrul daripada pertuduhan mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Rasuah Malaysia 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Hakim Asmadi Hussain membenarkan Afnizanizam dibebaskan dengan jaminan RM6,000 serta menetapkan 25 April ini untuk sebutan kes dan bagi tertuduh melantik peguam. Sumber : Bernama
No comments:
Post a Comment