Nuffnang

Friday, September 4, 2009

CATATAN HATI NIK NUR MADIHAH


Memandangkan hari ni jumaat, rehat waktu pejabat agak panjang dari 12.15tgh sehingga 2.45ptg. Saya ambil kesempatan rehat yang panjang dengan membaca buku 'Catatan Nik Nur Madihah'. Banyak penceritaan dalam buku tersebut, dengan rasa kagum, ketabahan, keberanian dan nilai-nilai murni yang wujud dalam diri insan bernama Nik Nur Madihah. Keluarga dan para guru menjadi tunjang utama kejayaan dia, mungkin tanpa mereka dia pun tak boleh mencapai tahap sebegitu.

Kesempitan hidup yang menyesakkan nafas tidak pernah sekalipun mematahkan semangatnya untuk berjaya. Malah itulah azimat yang menjadi bekalan untuknya mengatur langkah, mencari permata yang tak ternilai harganya 'Ilmu'. Menyalin semula sebuah kamus dengan tulisan tangan sendiri kerana tak punya wang untuk membelinya. Sering berpuasa menahan lapar dan dahaga demi untuk menjimatkan belanja. Menahan keinginan hati untuk memiliki barang-barang sendiri. Bukan senang mencapai bintang. Namun, tiada yang mustahil dalam kehidupan. Kepada Allah dia menyandarkan harapan. Agar diberi kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan cabaran hidup. Semoga diberi kesempatan untuk membalas keringat dan jasa ayah bonda. Tekad si anak bukan mainan kerana di hujungnya adalah permulaan kepada sebuah kejayaan.

Buku ini sepatutnya menjadi inspirasi bagi setiap orang yang bergelar pelajardan ibubapa yang mempunyai anak. Diceritakan kisah hidup Nik Nur Madihah semasa beliau mencapai keputusan cemerlang di dalam UPSR sehinggalah selepas kejayaan besarnya di dalam SPM yang baru lalu. Kejayaan yang menggemparkan seluruh rakyat Malaysia tentunya.
Beberapa kali saya menitiskan airmata ketika membaca kesulitan hidup yang ditempuhi Nik Nur Madihah, seorang gadis pingitan di sebuah perkampungan nelayan yang serba kekurangan. Siapa sangka gadis pingitan yang nampak biasa ini adalah sebenarnya sebutir permata yang indah berkilauan. Ayah dan ibu Nik Nur Madihah yang bersemangat kental tidak pernah mengeluh malah melarang anak-anaknya menangisi nasib yang tersurat. Sebaliknya mereka mengajar anak-anak supaya sentiasa mensyukuri nikmat yang Allah berikan.

Kata-kata hikmah yang selalu si ayah berikan ialah walaupun mereka miskin, mereka tidak sampai melarat, masih boleh mencicip makanan berbanding dengan orang lain yang ada juga tidak mempunyai tempat tinggal langsung, jadi kita harus bersyukur!
Cara didikan yang penuh keIslaman begitu mengkagumkan saya. Sedari kecil lagi beliau dilatih untuk mengamalkan solat dhuha, berpuasa sunat dan bangun malam mengerjakan tahjud. Saya boleh mengira dengan jari berapa kali saya menyuruh anak-anak saya bangun malam menunaikan solat sunat tahjud. Yelah, berapa banyak ibu bapa yang bersikap begini terhadap anak-anak. Rata-rata ibubapa mengambil pendekatan dengan menggalakkan anak-anak mereka supaya menghadiri seberapa banyak kelas tuisyen yang termampu, menyertai seminar motivasi cara menjawab soalan peperiksaan di samping menelaah pelajaran di rumah. Ada juga sesetengah ibubapa yang sampai terpaksa menunda kelas agama dan mengaji Quran anak-anaknya hingga selepas peperiksaan untuk mengisi masa tersebut dengan mengulangkaji pelajaran. Ada satu lagi senjata untuk meraih kejayaan hidup aitu selalu berdoa, berserah dan bertawakkal kepada Yang Maha Kuasa. Allah amat mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.

Satu lagi rahsia kejayaan yang diceritakan oleh Nik Nur Madihah ialah mentaati kedua ibubapa. Bagaimana ketaatan kepada ibubapa boleh membantu kita berjaya dalam hidup. Sentiasa taat kepada ibubapa dan mendoakan kesejahteraan kedua-duanya. Jangan menyakiti hati kedua-duanya dan sentiasa mengalah walaupun ada kalanya terdapat perbezaan pendapat. Orang-orang begini selalunya dirahmati Allah.
Di saat meraih kejayaan cemerlang 19A1 dan 1A2 di dalam SPM, Nik Nur Madihah sekeluarga didatangi oleh berbagai pihak yang ingin mengucapkan tahniah mahupun melihat sendiri siapakah sebenarnya 'permata berkilauan' itu.

Sumbangan yang diberikan juga tak kurang hebatnya. Malah ada yang menaja sekeluarga ini menunaikan umrah dan mendirikan rumah baru untuk mereka. Di saat nikmat yang melimpah ruah ditaburkan kepada mereka, seharusnya mereka bergembira tetapi sebaliknya di dalam gembira mereka kerisauan. Ya.. kerisauan seandainya nanti mereka akan jadi sombong dengan nikmat yang diberikan. Mulia sungguh hati Encik Kamal sekeluarga. Di saat menikmati kegembiraan hidup mereka masih beringat untuk tidak alpa. Inilah satu contoh keluarga muslim yang terbaik. Di dalam suka mahupun duka sentiasa mengingati Yang Maha Mengetahui. Semua perkara yang terjadi dan bakal terjadi diserahkan kepada Allah. Semoga adik Nik Nur Madihah akan terus berjaya dan dirahmati Allah senantiasa.


Semoga apa yang dilakukan oleh Nik Nur Madihah menjadi contoh buat anak-anak dan anak buah saya semua. Buat Farhan, Aja, Miza, Dali, Azim, As, Akmal, Hakim, Nana, Acan, Hanis, Asha, Aishah, Iqa, Efa dan Arif .

Selamat berjaya buat insan bernama Nik Nur Madihah. Amin!

No comments:

Post a Comment