Perbezaan usia sebanyak lima tahun bukan penghalang untuk dua-beradik ini akrab dan mampu berkongsi apa jua cerita tanpa perlu berselindung di antara satu sama lain.
Hubungan anak kelahiran Melaka ini semakin erat setelah mereka berkongsi hobi yang sama iaitu minat pada dunia penulisan dan kemudian jatuh cinta kepada dunia blog setelah mendapat pendedahan daripada kakak sulung mereka.
Siapa sangka, blog yang banyak membicarakan tentang kehidupan seharian dua mahasiswa itu mempunyai pengikutnya yang tersendiri sejak akaun blog mereka diwujudkan kira-kira dua tahun yang lalu.
Menurut Aizul Azwan Ab. Rahim, 23, kebanyakan kandungan blognya lebih banyak membicarakan mengenai kehidupannya, berkisar keluarga yang disayangi serta rakan-rakan di sekelilingnya selain berkongsi minatnya terhadap dunia fotografi dengan pembaca blognya.
"Apabila ada pengikut blog bercerita tentang blog saya, pasti nama Irine akan turut terpacul di bibir mereka dan begitu juga sebaliknya.
"Malah, hampir keseluruhan ahli keluarga saya turut dikenali pembaca-pembaca blog melalui cerita-cerita yang dimuatkan di blog," katanya.
Kata pelajar tahun akhir jurusan Perancangan Bandar dan Wilayah, UTM itu lagi, sejak dia menjadikan minatnya sebagai peluang untuk menjana pendapatan sambilan, blog dijadikan platform untuk dia mengembangkan perniagaan barunya itu dan maklum balas yang diterima sangat menggalakkan.
Adiknya, Irine Nadia Ab. Rahim, 18, pula berkata, menulis mengenai kehidupan di blog sama sekali tidak menjejaskan kehidupan peribadi dan sebaliknya ramai pengikut blognya yang gemar berkongsi pendapat walaupun mereka tidak pernah bersua antara satu sama lain.
"Menulis blog kini bagaikan terapi buat diri saya dalam menangani tekanan sebagai pelajar, selain ia juga cara untuk saya merehatkan minda.
"Malah, minat saya ini juga cara yang paling berkesan untuk memperbaiki cara penulisan saya dari semasa ke semasa," kata pelajar tahun satu jurusan Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM itu.
Berbeza dengan adiknya yang menjadi ikon fesyen di kalangan pengikut blognya kerana sering membicarakan tentang fesyen dan kecantikan, Aizul pula mempunyai kenangan pahit yang mengganggu kehidupan peribadinya gara-gara terlalu fanatik terhadap dirinya.
"Suatu masa dahulu, terdapat seorang gadis yang menyamar sebagai kekasih saya dan mempamerkan gambar-gambar saya yang diambil dari blog, kemudian di muat turun ke dalam blognya.
"Pada mulanya saya sangat marah kerana hak peribadi saya telah diceroboh dan setelah berbincang secara matang dengan gadis tersebut, perkara tersebut dapat diselesaikan secara baik dan gadis itu pun sudah menutup blognya," cerita Aizul yang tidak serik untuk meneruskan minatnya untuk menulis blog walaupun mempunyai kenangan hitam dalam hidupnya.
Nota kaki : Kita rajin baca blog Irine Nadia, itu pun anak dara kita yang kenalkan. Aizul tu baru kita tahu student UTM, ermmm nak carilah, bukan buat menantu pun...hahaha
Sumber Utusan Online
No comments:
Post a Comment