Hingga ke hari ini, barah payu dara masih menjadi pembunuh utama wanita di dunia. Pun begitu, dengan kemajuan teknologi, penyakit itu boleh dirawat sekiranya pesakit datang mendapatkan rawatan di peringkat awal.
Justeru, bagi meningkatkan kesedaran wanita mengenai penyakit itu, bulan Oktober setiap tahun dipilih sebagai sambutan kesedaran barah payu dara. Tidak hairanlah sepanjang bulan itu banyak kempen kesedaran barah payu dara dianjurkan sama ada kelolaan kerajaan mahupun swasta.
Hakikatnya, barah payu dara tidak memilih mangsanya dan menyerang semua wanita berisiko termasuk di luar bandar yang rata-rata tidak begitu terdedah kepada maklumat mengenai penyakit berkenaan.
Menyedari tanggungjawab sosial, syarikat kosmetik tersohor, Estee Lauder mengambil inisiatif menjadikan Kempen Kesedaran Barah Payudara Estee Lauder Malaysia 2010 untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai pentingnya kesedaran awal dalam menangani penyakit tersebut. Acara tahunan syarikat kosmetik tersohor itu mampu menyuntik kesedaran kepada masyarakat mengenai kesan barah payu dara kepada wanita dan juga masyarakat sekeliling.
Pengarah Urusan Estee Lauder, Loo Kai Nan memberitahu, cogan kata Berhubung, Komunikasi dan Menguasai merupakan ayat paling sesuai yang boleh memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kesengsaraan wanita yang menghidap barah payu dara.
Memandangkan ia adalah sesuatu yang serius seharusnya ia dicegah habis-habisan melalui kesedaran awal oleh setiap wanita . Melalui komunikasi, perkongsian maklumat dan menguasai keadaan merupakan tindakan yang tepat dalam menyebarkan maklumat tersebut serta kaedah terbaik dalam menangani permasalahan itu,'' ujarnya pada pelancaran kempen itu yang diadakan di hadapan Bangunan Sulan Abdul Samad, baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, bangunan yang bersejarah itu bertukar warna apabila disimbahi cahaya merah jambu sejurus selepas pelancaran kempen tersebut. Selain bangunan tersebut, Menara Kuala Lumpur juga turut disimbahi warna sama sebagai menguatkan sokongan terhadap kempen itu. Kai Nan menjelaskan, melalui tema warna merah jambu itu ia juga melambangkan kelembutan yang ada pada wanita.
Jelasnya lagi, biarpun barah ini menyerang kaum wanita sahaja, namun golongan lelaki juga perlu peka tentang permasalahan ini. Berhubunglah dengan sesiapa sahaja yang dikenali dan pengetahuan mengenai pemeriksaan awal terhadap penyakit ini boleh mencegah daripada terus menjadi mangsa kepada penyakit ini,'' terangnya. Katanya, apabila dapat mengesan kanser lebih awal, rawatan yang tepat mampu menyelamatkan nyawa.
Sumber : Utusan.
No comments:
Post a Comment