Nuffnang

Wednesday, April 3, 2013

Kisah Benar - Sentuhan Membuatkan Dua Hati Bertaut Kembali

Selamat malam semua, marilah sama2 kita sedekah Al Fatihah buat semua umat Islam di mukabumi ini. Amin. Terima kasih kepada pembaca blog saya.

Berdasarkan kisah benar yang diceritakan secara umum oleh seorang Pegawai Syariah di Sabah buat panduan bersama. Petikan ini saya ambil dari page Keharmonian rumahtangga dan keluarga muslim. Terima kasih kepada tuan empunya page, saya share dalam blog ini.




Sepasang suami isteri merasakan rumahtangga mereka tidak dapat diselamatkan lagi. Si isteri telah membuat keputusan untuk ke Mahkamah Syariah bagi memfailkan tuntutan fasakh (tuntutan cerai). Selesai pendaftaran kes dan saman dihantar kepada pihak suami, menunggulah mereka tarikh yang telah ditetapkan untuk hadir ke mahkamah. Setibanya hari itu, datanglah mereka ke mahkamah. 




Kes mereka dibicarakan di dalam kamar tertutup Hakim Syarie. Apabila dibicarakan di hadapan Hakim, maka berceritalah si isteri akan masalah rumahtangganya bermula dari A sehinggalah Z. Selesai si isteri meluahkan rasa, maka si suami pula menyuarakan segala isi hati yang tersirat selama ini. Setelah kedua-duanya habis bercerita, Hakim bertanya

"Puan, adakah puan masih ingin meneruskan tuntutan fasakh puan terhadap suami?"

Dengan suara yang tegas dia menjawab,"Ya, saya ingin tuntutan ini diteruskan".

Ditanya pula pihak suami, "Adakah encik bersetuju dengan tuntutan fasakh isteri encik?"

Dengan nada yang keras, si suami menjawab,"Ya, biarkan dia dengan tuntutannya".




Maka, setelah keputusan dari kedua-dua pihak didengar, Hakim pun berkata, "Baiklah, Jika inilah keputusan encik dan puan. Di sini saya ingin meminta agar encik dan puan dapatlah bersalaman memohon maaf antara satu sama lain buat kali terakhirnya.. Kerana selepas ini, setelah tamatnya iddah puan, kalian berdua tidak boleh lagi bersentuhan. Kalian bukan lagi mahram. "

Dengan hati yang berat dan bercampur syahdu, si suami menghulurkan tangannya memohon keampunan dan maaf daripada isterinya yang masih dikasihinya. Si isteri menyambut tangan suaminya beserta hati yang sayu dan linangan air mata, tangan suaminya dicium dan digenggam seerat-eratnya.

Seolah-olah tiada lagi esok untuk mereka. Pasangan tersebut tidak mahu melepaskan tangan masing-masing. Kedua-duanya menitiskan air mata. Dalam keadaan hening. Dengan suara yang teresak-esak, si isteri menuturkan kata-kata yang cukup menyentuh hati suaminya.

"Tuan, maafkan saya. Saya ingin menarik balik tuntutan kes fasakh saya. Saya amat menyayangi suami saya".

Tangan dileraikan dan berdakapanlah mereka suami isteri di dalam esak tangis yang begitu mengusik kalbu. Hakim mengangkat tangan, mengucap syukur kepada Allah kerana dengan izinNya, sebuah rumahtangga dapat diselamatkan daripada runtuh, gugur menyembah bumi murkaNya..
 

Ucapkanlah perkataan maaf dan hulurkanlah tangan setiap kali terjadinya perselisihan faham. Hargailah antara satu sama lain ketika masih bersama. Biarlah ikatan bahagia itu berkekalan abadi dan bertemu semula di Jannatul Firdausi suatu hari nanti.

Sumber :
Keharmonian rumahtangga dan keluarga muslim.



No comments:

Post a Comment