Nuffnang

Saturday, November 20, 2010

BICARA LENSA ISTIMEWA WARNA PENYERLAH RUANG

Penzahiran nada ruang yang ‘fotogenik’ diciptakan di kediaman teres dua tingkat lot tengah ini. anipiah yang gemar merakam gambar, mencipta permainan warna-warna berbeza di segenap ruang kediaman agar ianya tampil terbaik dalam memenuhi aspirasi lensa kameranya.

Serakan warna terang serlah kesuraman ruang

Inspirasi dekorasi yang ditampilkan, menjelaskan bicara seorang fanatic lensa yang tidak pernah kalah mengadun cita rasa dekorasi ringkas namun penuh kemesraan. Dominan dalam menentukan hala dekorasi di kediaman ini berbanding Miza; isterinya, Anipiah merencanakan setiap sudut ruangan yang nampak ringkas, namun menyerlah lagaknya di lensa kamera IMPIANA petang itu.

Mendiami unit di bahagian tengah, membuatkan kediaman ini tidak mempunyai ruang tingkap yang luas bagi membolehkan kemasukan cahaya secara maksimum. Hakikatnya, rekaan tingkap labuh dan pintu masuk utama menjadi satu-satunya penyelesaian ruang kemasukan cahaya yang menerangi ruang sosial utama kediaman; ruang tamu dan ruang makan.

Justeru, pilihan Anipiah terhadap warna hijau pucuk pisang yang melatari dinding ruang tamu formal, bukan sekadar mampu membangkitkan kemesraan, tetapi juga berperanan menjadikan ruangan itu tampil lebih terang nadanya. Melihat kepada ragam pengisian pelan lantainya, kelihatan sofa berentak moden digandingkan bersama ruang duduk berbalut fabric krim polos dan rangka gelap menjadi pilihan pasangan ini. Kecenderungan Anipiah dan Miza terhadap perabot fabrik kerana ia bersifat versatil untuk disuai padan serta mampu mengelakkan kebosanan dengan hanya menukar sarung untuk instant make over. Melengkapkan penataan ruang sosial adalah sebuah meja kopi dengan padanan permukaan kaca tahan hentakkan yang lebih praktikal dan tahan lama.

Ruang menonton yang selesa

Proses ubah suai yang memakan masa selama dua bulan merangkumi penambahan siling plaster, pewarnaan latar dinding, penambahan ruang dapur tunggal dan pemasangan cabinet dapur. Rekaan siling plaster yang menempatkan concealed lighting dan down lighting memberikan kelebihan kepada pemilik untuk menentukan mood pencahayaan yang ingin dijelmakan pada setiap ruang kediaman.

Ruang menonton pula terletak di latar ruang yang sama dengan ruang tamu formal. Bagaimanapun pilihan sofa fabrik dengan rekaan yang lebih santai dan juga hamparan permaidani warna polos menjadikan ruang menonton ini lebih memberikan keselesaan. Kabinet pasang dalam untuk menempatkan set televisyen juga dibina tergantung dengan rekaan moden dan ringkas. Penonjolan ruang yang berciri moden ini disempurnakan dengan padanan aksesori pelengkap yang menata persembahan ruang secara kontemporari.

Ruang hidangan ringkas selesa

Meja makan kayu warna coklat gelap dengan enam tempat duduk mengisi ruang hidang formal. Rekaan ringkas dan dengan saiz yang tidak terlalu besar memadai untuk memenuhi keperluan keluarga dan tetamu yang berkunjung. Pewarnaan latar dinding dalam pilihan warna kelabu gelap sebagai dinding tumpu memberikan lebih impak apatah lagi dengan gantungan bingkai gambar yang memaparkan aksi-aksi si kecil yang menyerikan hidup pasangan ini. Pilihan warna kelabu lembut di sebahagian lagi dinding ruang hidang formal ini pula menjadikan penataan ruang lebih menarik.

Sumber : Karangkraf

No comments:

Post a Comment