Dari bahagian luar lagi, kediaman yang asalnya dibina menggunakan material kayu ini sudah memperlihatkan kelainan. Dibangunkan semula menggunakan konkrit, penampilan banglo 1 ½ tingkat ini ditonjolkan menerusi penggunaan jubin kraf berbentuk batu bata pada dinding luarnya. Sementara itu, pintu pagar dan pagar ruang balkoni di tingkat satu pula menggunakan wrought iron. Pemilik juga memanfaatkan ruang tanah yang terhad untuk membina taman ringkas yang diisi dengan pokok-pokok bunga hiasan, rumput permaidani dan juga kerusi sebagai dudukkan kala bersantai.
Ruang tamu mengundang damai
Kediaman ini mempunyai dua pintu masuk, iaitu pintu yang digunakan sehari-hari di sebelah kanan kediaman dan juga pintu masuk utama yang hanya digunakan ketika mengadakan majlis keraian atau menyambut kedatangan tetamu yang terletak di hadapan kediaman ini.
Sebelum melangkah ke ruang dalam kediaman menerusi pintu yang digunakan sehari-hari, anda juga boleh merehatkan diri terlebih dahulu kerana pada ruang ini turut ditempatkan kerusi serta ditata ringkas dengan hiasan dinding. Seterusnya, anda akan disambut dengan ruang santai yang menempatkan satu sofa dengan dua tempat duduk dan dua wing chair. Langsir yang menghiasi ruang ini didatangkan dari Elyza’s dan melengkapkan ruang dindingnya pula ialah kertas dinding berwarna terang yang hadir serasi dengan perabot dan aksesori hiasan ruang ini.
Sementara itu, melangkah masuk ke dalam kediaman menggunakan pintu utama, anda perlu menaiki anak tangga kecil kerana kedudukan ruang dalam kediaman ini agak tinggi berbanding dengan laman kediaman. Bahagian sebelah kanan kediaman ini menyerlah dengan hiasan bunga besar yang turut bertindak sebagai titik fokal ruang ini.
Pereka nyata bijak mengadun idea merencana ruang ini kerana walaupun kedudukan silingnya agak rendah, namun pilihan penggunaan kertas dinding berwarna cerah membuatkannya terlihat lebih tinggi dan lapang. Sementara itu, pemilihan perabotnya pula yang terdiri daripada set sofa Polish Gold Anodish (PGA) memberikan impak ruang terlihat mewah. Melengkapkan lagi fungsi ruang ini ialah sebuah sofa tunggal berwarna maroon yang dilihat serasi bergandingan dengan warna langsir dari Elyza’s.
“Ruang dinding adalah antara ruang pertama yang kami berikan perhatian untuk memberikan wajah baru ketika menghias kediaman ini kerana perubahan pada ruang ini mampu memberikan impak yang besar terhadap wajah keseluruhan sesebuah kediaman,” ujar Haslina dari HK Decor. Keseluruhan ruang ini dihiasi dengan kertas dinding berwarna ungu lembut dan kertas dinding purple gelap pula menjadi titik tumpu. Walaupun ditata sederhana, tetapi dengan adanya pemasangan candelier, aplikasi lampu suluhan bawah serta langsir dari Elyza’s telah melengkapkan lagi penampilan mewah ruang ini.
Sumber : Karangkraf
No comments:
Post a Comment